Assalamu’alaikum…
"kak aina, saya ingin minta nasihat bagaimana memperkuat kesabaran di saat masalah
datang???
Dan iman mulai memudar terusik oleh keperihan batin??"
Kotak mesej saya diketuk dengan satu mesej yang
meminta nasihat berkaitan dengan bagaimana untuk memperkuatkan kesabaran dalam
menghadapi masalah. Saya sendiri tidak layak untuk menjawab soalan adik tersebut. Maklumlah, saya sendiri rebah di saat masalah datang mengusik.
Masalah. Sebenarnya setiap orang tidak akan terlepas
daripada menghadapi masalah selagi hidup di dunia ini. Sehingga wujudnya statement extreme yang
menyatakan bahawa;
“hidup ni hanyalah untuk menyelesaikan masalah.. lepas
satu masalah selesai, masalah lain pulak yang akan datang, penat! Seolah-olah
hidup ini hanyalah untuk menyelesaikan masalah semata-mata.”
Tidak dinafikan, perasaan sebegini akan hadir dalam diri
kita yang sudah terlalu penat dan lali berhadapan dengan masalah. Apatah lagi
masalah yang dihadapi itu terlalu berat dan sudah tidak tertanggung lagi.
Ungkapan sabar dan kata-kata semangat dari orang sekeliling seolah-olah tidak
punyai makna lagi. Sehingga kita merasa, tidak ada orang dalam dunia ini yang
paling besar masalahnya selain daripada kita. Masalah kitalah yang paling besar
dan berat sekali. Tidak akan ada orang yang memahami apa yang kita rasa.
Pandangan simpati daripada sahabat handai hanya sekadar pandangan kosong
yang tidak punyai apa-apa makna. Begitulah analogi beratnya perasaan yang
dirasa apabila diri ditimpa masalah. Apatah lagi apabila masalah yang datang
itu berangkai-rangkai. Belum selesai lagi satu masalah, masalah lain pula yang
datang. Kekadang mengundang sesak di dada dan rasa hidup sudah tidak punya
alasan lagi untuk merasa ceria dan gembira. Malah lebih teruk, kita merasakan
diri sudah tidak punyai apa-apa lagi, kesabaran menipis, gunung berapi
kemarahan mudah meletus dan kepercayaan bahawa Allah sentiasa menolong
hamba-hamba-Nya yang sabar sudah mulai goyah.
Maka, di sinilah hati dan fikiran kita punyai peranan yang
penting. Andai hati dan fikiran itu terpandu dan sentiasa berfikiran positif dalam
menghadapi kegawatan perasaan, hati, fikiran malah tenaga yang dimiliki,
untunglah. Tapi, seandainya fikiran dan perasaan negatif sentiasa menyucuk
minda dan menghasut hati, maka, rasa berputus asa akan mudah untuk menjengah
jendela hati yang terbuka. Sehingga pengharapan dan keimanan kepada-Nya semakin
menipis. Ditambah pula dengan amalan ibadah harian yang kurang sempurna.
Teman, masalah itu adalah satu bentuk ujian dan dugaan
daripada Allah S.W.T. untuk kita membuktikan sejauh mana kebenaran dan utuhnya
akujanji iman kita kepada-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
yang ada bersamanya; “bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”. Ketahuilah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang
teguh kepada agama Allah.)
(Al-Baqarah: Ayat 214)
Dan dalam firman-Nya yang lain;
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami
telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: Ayat 2 – 3)
Teman, diuji dengan ujian kepayahan itu sangat sukar untuk
dihadapi. Apatah lagi ujian berbentuk masalah itu datang ke kamar diri tanpa
mengetuk pintu. Apatah lagi andai kita diuji dengan sesuatu masalah yang sangat
sukar untuk diselesaikan. Terasa seolah-olah masalah yang dihadapi tidak
sekali-kali dapat diselesaikan dan tiada penghujungnya. Apatah lagi ujian itu
bertandang ke dalam diri dalam jangka masa yang lama. Bukan sehari dua, bukan
seminggu dua, bukan juga sebulan dua, tetapi bertahun-tahun. Maka, kesabaran
pasti akan menipis. Andai kata kita memang dianugerahkan kesabaran yang tinggi;
ketabahan yang luar biasa sekalipun, pasti terdetik dalam hati kita untuk
mempersoalkan kewajaran ujian yang dihadapi.
Ya.. kita memang manusia yang lemah, manusia yang alpa,
manusia yang lalai, malah manusia yang punyai nafsu. Perasaan sebegitu adalah
normal teman. Normal kerana manusia memang dilahirkan sebegitu. Pada saat ini,
janganlah sekali-kali melayan prasangka-prasangka buruk yang timbul di dalam
hati. Didiklah hati, nafsu dan fikiran untuk bersabar. Bagaimana untuk
meningkatkan kesabaran? Perkara sabar bukanlah senang untuk dilaksanakan
sebagaimana ia senang untuk diperkatakan. Sabar itu sukar. Apatah lagi apabila
nafsu sentiasa membelai diri kita yang negatif sehingga kita tegar untuk
meremehkan urusan ibadah kepada-Nya. Kesannya, nipislah iman kita yang sedia
nipis itu.
Teman, sesungguhnya kita memang sudah sedia maklum. Tiada
jalan lain untuk menangani masalah yang dihadapi, tiada cara lain yang ada untuk
meningkatkan kesabaran dan memperkukuhkan iman di dalam diri selain dari
mendekatkan
diri kita kepada Allah. Tiada jalan lain selain daripada
menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T. Pencipta kita yang Maha Agung.
Pencipta kita yang Maha Lembut, Maha Pemurah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Sungguh. Tiada cara lain selain daripada menjaga hubungan kita dengan Allah
S.W.T.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan
dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin
hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar);
dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahu akan tiap-tiap sesuatu)”
(At-Taghaabun: Ayat 11)
Pada saat kesabaran dan iman makin menipis, maka dirikanlah
solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan
ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah
kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada-Nya,
diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan segala jenis nafsu. Kerana,
sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan doa-doa
hamba-Nya. Gunalah slogan yang popular itu; “lawan tetap lawan!”dalam
bermujahadah. Iman manusia seperti kita memang sentiasa fluctuate.
Jangan risau, apa yang perlu dilakukan ialah berusaha dengan jalan yang sabar.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk
menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan
bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah: Ayat 153)
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan
sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat
kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
(Al-Baqarah: Ayat 45)
Dari itu, jagalah hubungan kita dengan Allah S.W.T maka
insya Allah Dia akan menjaga dan menolong kita. Insya Allah, keyakinan
dan keimanan kepada-Nya juga akan dapat dipertingkatkan. Titipkanlah doa di
akhir setiap solat agar Dia memberikan kekuatan kepada kita untuk terus
istiqamah dalam beribadah serta kekuatan untuk bermujahadah melawan
kemungkaran.
~Dunia ini merupakan neraka bagi orang yang beriman dan
syurga bagi orang-orang yang ingkar.
~Sesungguhnya ujian yang hebat hanya diberikan kepada
orang-orang yang hebat. Maka, bertuahlah orang-orang yang menerima ujian yang
maha hebat dan dapat menempuhinya dengan sabar dan jayanya kerana ia merupakan
satu latihan dan persediaan untuk mereka menjadi orang yang lebih hebat.
~Sentiasalah berfikiran positif dan berada bersama dengan
mereka yang berfikiran serta mempunyai sikap yang positif. Ia akan membantu
kita untuk menjadi lebih positif dalam mengharungi ujian kehidupan.
~Perspektif yang positif ini memang ubat yang mujarab dalam
menghadapi ujian kehidupan, malah ia akan membantu kita untuk mencerap hikmah
yang diperolehi daripada setiap ujian. Anggaplah ujian dan dugaan yang
diberikan itu sebagai kafarah kepada dosa-dosa kita. Insya Allah kita akan
lebih redha dan bersyukur dalam menghadapi ujian kesukaran apatah lagi
ujian kesenangan dalam kehidupan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi
diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke
dalam syurga-Ku.”
(Al-Fajr: Ayat 27 – 30)
Semoga kita semua sentiasa dalam redha dan limpahan
rahmat-Nya.. aamiin~
No comments:
Post a Comment